Pemain tengah Manchester United, Paul Pogba, tidak akan kembali ke Juventus, kata pengarah sukan kelab gergasi Serie A itu, Fabio Paratici.

Pogba, 25, dikaitkan dengan perpindahan kembali ke Turin selepas wujud laporan dia berdepan masalah dengan pengendali United, Jose Mourinho.

Pemain skuad kebangsaan Perancis itu meninggalkan Juve pada Ogos 2016 unuk ke Old Trafford melalui rekod perpindahan dunia ketika itu bernilai EUR105 juta (RM501 juta).

Walaupun dikaitkan dengan berita Pogba -- yang memenangi empat kejuaraan Serie A berturut-turut bersama Juve -- untuk pulang ke Turin, Paratici menjelaskan pihak kelab tidak gembira dengan situasi itu.

"Kami sangat sayangkan Pogba," kata Paratici.

"Kami berhubung dengannya tetapi tidak pernah terfikir untuk membawanya pulang dan tidak akan memikirkan tentang perkara itu."

Seorang lagi pemain yang dikaitkan dengan perpindahan ke Juventus adalah bintang tengah Lazio, Sergej Milinkovic-Savic, tetapi Paratici turut menafikan perpindahan itu bakal berlaku.

"Dia seorang pemain hebat tetapi kami tidak bercakap dengannya atau Lazio," tambahnya.

Juventus melalui permulaan cemerlang musim ini selepas memenangi 10 perlawanan berturut-turut dalam semua kejohanan.