Juventus yakin akan mencapai kata sepakat berhubung kontrak Paulo Dybala, menurut Ketua Pegawai Bola Sepak Juve, Fabio Paratici.

Dybala terikat dengan Serie A itu hingga Jun 2022 dan dalam wawancara bersama CNN minggu ini, dia mendedahkan sedang menunggu kelab berkenaan untuk memulakan rundingan baru.

Pemain antarabangsa Argentina itu bergelut untuk mempamerkan prestasi sebenarnya sejak kehadiran Cristiano Ronaldo apabila hanya menyumbat 23 gol sejak awal 2018-19, jauh daripada angka yang pernah dilakarnya dalam musim 2017-18.

Biarpun pengurus, Maurizio Sarri, mengakui anak buahnya itu bergelut untuk bergandingan, Paratici tetap optimis mengenai masa depan Dybala di Turin.



Sebelum babak kedua kemenangan separuh akhir Coppa Italia menentang Milan awal pagi tadi, Paratici sempat memberi pandangannya kepada Rai Sport: "Kami tidak khuatir mengenai situasi Dybala dan wakilnya, jadi kami benar-benar optimis dan yakin.

"Setiap orang yang dalam rundingan baru mahu peningkatan gaji, ia logik."

Ditanya mengenai minat Juve terhadap pemain Roma, Nicolo Zaniolo, dia menambah: "Ini bukan waktunya untuk membincangkan tentang pasaran perpindahan, ia diusahakan ketika tiada perlawanan diadakan namun ketika ini kami ingin menikmati saat kembalinya bola sepak Itali."

Pertembungan di antara Juve dengan Milan merupakan perlawanan pertama kancah itu selepas tiga bulan ditangguhkan akibat penularan wabak COVID-19.