Juventus mengesahkan penamatan kontrak Gonzalo Higuain yang akan menelan belanja sebanyak €18.3 juta (RM89.5j).

Penggempur berusia 32 itu tiba di Juve dari Napoli pada 2016 untuk menjulang tiga gelaran Serie A dan dua trofi Coppa Italia.

Bekas bintang Argentina itu, yang menghabiskan musim 2018-19 dipinjamkan keMilan dan Chelsea, menyumbangkan 66 gol dalam 148 perlawanan buat Juve.

Dikaitkan dengan perpindahan ke kancah Liga Utama Bolasepak (MLS) bersama Inter Miami di Amerika Syarikat (AS), pemergian Higuain disahkan malam tadi menerusi persetujuan menamatkan kontraknya -- yang sepatutnya berakhir 2021 -- lebih awal.



"Juventus Football Club S.p.A. mengumumkan penamatan kontrak dengan pemain, Gonzalo Gerardo Higuain," kata kelab Itali itu dalam satu kenyataan.

"Tindakan ini memberi kesan negatif terhadap ekonomi -- kira-kira €18.3 juta pada tahun kewangan 2019-2020 atas penurunan nilai hak pendaftaran pemain."

Higuain semakin hangat dikaitkan untuk menyertai pasukan yang dimiliki David Beckham itu di mana bekas rakan sepasukannya di Juve, Blaise Matuidi, menganggapnya seperti kampung halaman.