Andrea Pirlo berkata dia tidak kisah dengan persembahan kurang bersemangat Juventus sehingga terikat 2-2 dengan AS Roma awal pagi tadi sambil menegaskan pasukan bimbingannya itu "sedang dalam pembinaan".

Juara Serie A itu berada jauh di bawah prestasi sebenar dan ketinggalan 1-2 selepas separuh masa pertama dengan Jordan Veretout menjaringkan dua gol di antara jaringan sepakan penalti Cristiano Ronaldo di Stadio Olimpico.

Pemain tengah Juve, Adrion Rabiot, diarahkan keluar padang selepas sejam permainan tetapi Ronaldo memastikan Bianconeri tidak pulang dengan tangan kosong menerusi gol tandukannya tidak lama selepas itu.

Pirlo, yang menggantikan maurizio Sarri yang dipecat bulan lalu, meletakkan faktor kecergasan pemain sebagai alasan kepada aksi buruk itu dan menjangkakan prestasi yang lebih baik akan dipamerkan selepas ini.

"Roma menyerang dengan ramai pemain sama seperti kami, jadi ia satu perlawanan yang berbeza berbanding ketika menentang Sampdoria (di mana Juve menang 3-0 hujung minggu lalu).

"Ini merupakan satu langkah ke belakang tetapi pasukan ini sedang dalam pembinaan.

"Kami tidak mempunyai masa untuk mencuba apa-apa penyelesaian dalam pramusim, jadi perlawanan-perlawanan ini adalah ujian.

"Tetapi pada akhirnya, masih ada satu mata yang diraih. (Alvaro) Morata hanya tiba dua hari lalu, Arthur tidak bermain selama enam bulan dan perlu menyesuaikan diri dengan bola sepak Itali.

"(Rodrigo) Bentancur juga sudah mula berasa lebih baik. Kondisi pemain-pemain penting ini perlu sedikit perkembangan," katanya.

Juve menewaskan Inter Milan dengan hanya kelebihan satu mata musim lalu dan skuad kendalian Antonio Conte itu memberikan respons dengan mendatangkan pemain hebat seperti Achraf Hakimi, Arturo Vidal dan Aleksandar Kolarov.

Ditanya sama ada skuad Inter itu kini lebih kuat berbanding pasukannya, Pirlo berkata: "Saya tidak tahu sama ada mereka lebih bagus daripada kami atau tidak tetapi mereka lebih kuat berbanding musim lalu memandangkan mereka membawa masuk pemain yang berkualiti.

"Saya fikir ia akan menjadi satu persaingan sehingga ke penghujungnya."