Juventus, Santos pertahan Ronaldo

Oleh Penulis Jemputan 5 Oktober 2018 1460
Juventus, Santos pertahan Ronaldo
Ketua jurulatih Portugal, Fernando Santos, dan pasukan Serie A, Juventus, melaungkan sokongan buat Cristiano Ronaldo selepas pemenang Ballon d'Or sebanyak lima kali itu menafikan tuduhan rogol yang dikenakan ke atasnya.

Bekas model, Kathryn Mayorga, mendakwa Ronaldo melakukan serangan seksual ke atas dirinya di sebuah hotel di Las Vegas pada 2009.

Ronaldo menyifatkan dakwaan tersebut sebagai berita palsu sebelum mengeluarkan kenyataan penafian di media sosial yang turut menyatakan jenayah tersebut bertentangan dengan dirinya.

Juventus mengeluarkan satu kenyataan di Twitter awal pagi tadi untuk menyatakan sokongan buat Ronaldo yang sebelum ini berpindah ke pasukan tersebut Julai lalu.

"Cristiano Ronaldo telah memaparkan sifat profesional serta dedikasi yang tinggi dan kami di Juventus menghargainya.

"Pertuduhan yang berlaku hampir 10 tahun lalu tidak akan mengubah situasi ini," kata kenyataan rasmi kelab itu.

Pihak polis Las Vegas membuka kembali siasatan tersebut, namun tidak menamakan sebarang mangsa mahupun suspek.

Mayorga melalui peguamnya mengadakan satu sidang media Rabu lalu dengan dia menyenaraikan segala penderitaan yang dilalui anak guamnya itu, termasuk tekanan emosi yang dilalui.

Dalam pada itu, Santos yang tidak menyenaraikan Ronaldo bagi menghadapi perlawanan menentang Poland dan Scotland mendedahkan pemain itu tidak hadir ketika pertemuan dengan Itali dan Croatia bulan lalu. 

Walaupun dia masih tidak memperoleh alasan yang jelas berikutan situasi tersebut, dia masih melaungkan sokongan buat ketua pasukannya itu.

"Saya percaya dengan apa yang dia katakan. Jenayah tersebut adalah bertentangan dengan dirinya," kata Santos.

"Dia menyatakannya berluang kali bahawa dia tidak bersalah.

"Saya amat mengenali dirinya. Saya percaya dia tidak akan melakukan jenayah tersebut," tambahnya.

Tentang Penulis

Penulis Jemputan

Komen