Juventus sambut baik kepulangan Morata ke Turin

Oleh Muzaffar Musa 22 September 2020 745
Juventus sambut baik kepulangan Morata ke Turin
Juventus menyambut baik kepulangan Alvaro Morata ke Turin selepas penyerang itu dijangka akan kembali menyertai pasukan juara Serie A berkenaan dalam masa terdekat.

Morata dilaporkan akan menyertai Juve secara pinjaman daripada Atletico Madrid dengan kesepakatan melibatkan pembayaran €9 juta (RM43.7 juta) dan kelab Itali itu mempunyai pilihan untuk membeli pemain berusia 27 tahun itu secara tetap dengan tanda harga €45 juta (RM218.8 juta).

Juventus, yang memang sedang memburu seorang penyerang, menyambut baik kehadiran Morata ketika pemain itu menjejakkan kaki di Turin awal pagi tadi.

"@AlvaroMorata sudah kembali ke bandar ini," ciap kelab itu dalam Twitter yang disertakan dengan gambar penyerang itu.
 
Ia merupakan kali kedua Morata menyertai pasukan itu selepas merekodkan 27 gol daripada 93 penampilanya sepanjang dua musim dari 2014 hingga 2016.

Dia kembali menyertai Real Madrid selama semusim sebelum menyertai Chelsea dan Atletico Madrid, di mana dia menjaringkan 12 gol dalam 34 penampilan LaLiga musim lalu.

Dengan Gonzalo Higuain meninggalkan pasukan itu untuk menyertai Inter Miami, Juve turut dikaitkan untuk mendapatkan Luis Suarez (Barcelona) dan Edin Dzeko (AS Roma).

Perpindahan Morata berkemungkinan akan membuka ruang untuk Suarez, 33, menyertai Atletico.

Juve memenangi sembilan kejuaraan Serie A berturut-turut dan membuka kempen musim ini di bawah kendalian jurulatih baru, Andrea Pirlo, dengan kemenangan 3-0 ke atas Sampdoria hujung minggu lalu.

Tentang Penulis

Muzaffar Musa

Komen