Matthijs de Ligt dalam keraguan menjelang pertembungan Juventus dengan Atletico Madrid dalam Liga Juara-Juara (UCL) setelah mengalami kecederaan bahu ketika menang 3-1 ke atas Atalanta, kelmarin.

Sementara itu, rakan sepasukan, Douglas Costa, sah akan diketepikan untuk bertemu Atletico ekoran ketegangan paha, menurut Juventus.

Kemenangan di Bergamo merupakan kejayaan kelima berturut-turut buat barisan pemain Bianconeri itu dalam semua pertandingan untuk menguasai puncak Serie A, satu mata di hadapan Inter.

Tetapi pengurus, Maurizio Sarri, menerima tamparan hebat apabila bakal kehilangan khidmat De Ligt serta Costa.

Bintang muda yang disambar daripada Ajax itu telah memulakan 10 daripada 13 perlawanan domestik musim ini berikutan kecederaan lutut yang dialami Giorgio Chiellini.

Sarri juga sedang memantau tahap kecergasan Federico Bernardeschi, yang terpaksa digantikan selepas 26 minit permainan dengan Atalanta, setelah mengalami lebam di dadanya.

Dalam satu kenyataan di laman sesawang rasminya, Juventus berkata: "Mengikut ujian yang dilakukan pagi ini ... Matthjis de Ligt didapati terseliuh di bahu kanannya dalam perlawanan semalam dan kini telah memulakan sesi terapi dan pemulihan.

"Federico Bernardeschi juga mengalami proses terapi dan pemulihan kerana mengalami lebam di dada kanannya.

"Douglas Costa mengalami kecederaan ringan di bahagian otot paha kanan dan telah memulakan rawatan pemulihan."

Juventus menjelaskan pemain sayap itu memerlukan masa kira-kira 15 hari untuk pulih sepenuhnya.