Juventus raih tiga mata pertama

Oleh Penulis Jemputan 28 September 2017 124
Juventus raih tiga mata pertama
JUVENTUS 2 OLYMPIACOS 0

Dua gol dalam separuh masa kedua di Turin memberikan kemenangan 2-0 buat Juventus mengatasi Olympiacos, sekaligus meraih tiga pertama dalam saingan Kumpulan D, Liga Juara-Juara Eropah (UCL) musim 2017/18.


Selepas tewas 0-3 dalam aksi terdahulu di tangan Barcelona, skuad kendalian Massimiliano Allegri menerima kedatangan wakil Greece itu dengan misi mendapatkan mata penuh.

Mario Mandzukic hampir meletakkan Juve di depan selepas perlawanan berlangsung selama setengah jam apabila menerima hantaran Juan Cuadrado dari sebelah kanan, namun tandukannya sekadar melewati palang.

Sembilan minit kemudian, sekali lagi tandukan Mandzukic gagal membutirkan jaringan selepas percubaannya dinafikan oleh penjaga gol pelawat, Silvio Proto.

Usaha bertali-arus tuan rumah akhirnya berhasil pada minit ke-69 apabila Gonzalo Higuain bijak mencari ruang untuk menerima hantaran lintang Alex Sandro, sebelum melepaskan rembatan kaki kanan dari jarak dekat untuk Juve mendahului 1-0.

Kekecewaan Mandzukic sejak awal perlawanan terubat apabila menjaringkan gol kedua buat Bianconeri pada minit ke-80 selepas menanduk masuk bola muntah hasil percubaan penyerang Argentina, Paulo Dybala.

Kedudukan kekal 2-0 sehingga tamat permainan, meletakkan Juve di tangga ketiga kumpulan dan berkongsi tiga mata bersama pasukan tangga kedua, Sporting Lisbon, namun kekurangan satu gol.

 

Tentang Penulis

Penulis Jemputan

Komen