Juventus mengikat Andrea Pirlo sebagai pengurus baru menerusi perjanjian selama dua tahun.

Walaupun bekas pemain tengah Itali itu baru sahaja memegang jawatan sebagai pengurus skuad B-23 kelab tersebut sembilan hari yang lalu, kini dia diberi kepercayaan untuk menggantikan Maurizio Sarri.

Sarri dipecat semalam selepas Juve terkandas dalam pusingan 16 Liga Juara-Juara (UCL) berdasarkan peraturan gol di tempat lawan apabila seri 2-2 dengan Lyon.

Bekas pemain dan pengurus Real Madrid ketika ini, Zinedine Zidane, muncul sebagai salah satu calon awal untuk peranan itu di samping bekas pengendali Tottenham, Mauricio Pochettino, dan pengurus Lazio, Simone Inzaghi.

Sebelum itu timbul juga spekulasi mengaitkan pengurus Itali, Roberto Mancini, sebelum kelab berkenaan mempromosikan Pirlo sebagai pengganti Sarri.

"Mulai hari ini, dia akan bertindak sebagai pengurus Juventus kerana kelab ini telah memutuskan untuk menaruh kepercayaan terhadapnya untuk memimpin pasukan teknikal skuad pertama selepas memilihnya untuk mengendalikan skuad Juventus B-21," kata satu kenyataan rasmi yang dikeluarkan gergasi Serie A itu.

"Pilihan hari ini dibuatkan berdasarkan kepercayaan bahawa Pirlo memiliki apa yang diperlukan untuk membuat kemunculan pertamanya di bangku simpanan di samping skuad handalan dan berbakat ini demi mengejar kejayaan baru."

Pirlo meninggalkan The Old Lady pada 2015 selepas Bianconeri, yang mengejar kejuaraan treble, tewas 1-3 kepada Barcelona dalam final Liga Juara-Juara (UCL).

Dia menghabiskan dua tahun beraksi dalam kancah Liga Amerika Syarikat (MLS) bersama New York City sebelum memutuskan untuk menggantung but.

Pemenang Piala Dunia 2006 itu menjuarai Scudetto sebanyak enam kali apabila memenanginya dua kali bersama Milan dan empat kali dengan Juve. Dia memenangi dua trofi UCL sebagai pemain Rossoneri, iaitu pada 2003 dan 2007.