Juventus mahu pertahan khidmat Dybala, Higuain 

Oleh Shaiful Shamsudin 4 Mei 2020 69
Juventus mahu pertahan khidmat Dybala, Higuain 
Juventus berhasrat untuk mengekalkan Paulo Dybala "selama mungkin" termasuk Gonzalo Higuain bagi musim 2020-21, sementara Giorgio Chiellini dan Gianluigi Buffon hampir pasti melanjutkan kontrak masing-masing. 

Dengan Cristiano Ronaldo kini menjadi bintang utama pasukan Bianconeri itu, gandingannya di bahagian serangan, Dybala dan Higuain, kerap dikaitkan akan meninggalkan Turin.

Dybala dilaporkan menjadi sasaran Manchester United dan Tottenham tahun lalu manakala Higuain akan berpindah secara tetap susulan tempoh pinjaman di Milan dan Chelsea yang gagal. 

Duo Argentina berkenaan telah menyumbat 21 gol musim ini, sehubungan itu Pengarah Sukan, Fabio Paratici, berharap mengekalkan kedua-dua pemain tersebut di Bianconeri, yang mendahului Lazio dengan satu mata untuk menguasai puncak Serie A sebelum musim ini ditangguhkan Mac lalu akibat wabak novel koronavirus (Covid-19).

Bercakap mengenai kemungkinan tawaran baru -- termasuk kontrak buat pemain veteran, Chiellini dan Buffon, yang bakal berakhir -- Paratici memberitahu Sky Sport Italia: "Kontrak Chiellini dan Buffon sedang dalam proses.

 
"Bagi Dybala pula, saya rasa situasi (pandemik ketika ini) telah merencatkan sedikit perbincangan di antara kami. Tetapi kami mahu dia bersama kami selama mungkin."

Meskipun perjanjian pemain berkaki kidal itu hanya akan tamat pada 2022, tetapi mereka telah memulakan rundingan perjanjian baru.

Sementara itu, kontrak Higuain, 32, pula akan berakhir musim depan tetapi Juventus belum terlintas untuk membiarkan bekas penggempur Napoli tersebut berangkat lebih awal.

Paratici menambah: "Higuain tidak berada di Itali ketika ini dan secara amnya sangat bimbang mengenai pandemik koronavirus. Gonzalo merupakan seorang yang sangat sensitif dan perkara ini sangat mengejutkannya.

"Kami serasi dengannya. Dia telah mengharungi musim yang luar biasa. Kami berharap agar dia akan terus bersama kami bagi baki kontraknya."

 

Tentang Penulis

Shaiful Shamsudin

Komen