OLYMPIACOS 0 JUVENTUS 2

Massimiliano Allegri percaya Paulo Dybala akan kembali menemui sentuhan berbisa selepas penggempur itu terus kemarau jaringan dalam kemenangan 2-0 Juventus ke atas Olympiacos, awal pagi tadi.


Dalam pertembungan Kumpulan D itu, pemain dari Argentina berkenaan terus buntu meletakkan bola ke dalam gawang lawan dalam saingan Liga Juara-Juara (UCL) musim ini serta saingan domestik yang menyaksikan dia sempat meledak 10 gol dalam enam perlawanan Serie A dan sejak itu, hanya dua gol berjaya dihasilkan.

Selepas juara Itali itu mengesahkan tempat dalam pusingan 16, Allegri menegaskan dia tidak gusar dengan prestasi pemain itu.

"Ia tidak bagus buat Paolo Dybala, namun dia harus kekal tenang kerana tiada seorang daripada kami pun bimbang mengenainya. Saya pasti dia akan kembali kepada rentaknya tidak lama lagi," kata pengurus Juventus itu kepada UEFA.com.

"Dia harus terus berlatih seperti biasa."

Dalam aksi di Piraues itu, Juan Cuadrado mencetak gol ke atas Olympiacos yang menyaksikan pemain Colombia itu menampan masuk hantaran lintang rendah Alex Sandro pada minit ke-15.

Selepas percubaan El Fardoun Ben Nabouhane menggegar palang pada separuh masa kedua, pemain gantian, Federico Bernardeschi, mengesahkan kemenangan Juve dengan sepakan lencong pada minit ke-90.

"Bukan sentiasa mudah untuk memenangi perlawanan Eropah, sebab itulah kami perlu segera mematikan permainan sebaik memperolehi beberapa peluang untuk mendahului," kata Allegri lagi.

"Kami menguasai lebih banyak pada babak kedua, namun kami juga dipaksa bekerja lebih keras tanpa bola.

"Apabila anda kehilangan bola, ia akan memberikan ruang buat lawan melancarkan serangan dan itulah yang kami lakukan pada separuh masa kedua," ujarnya.

Juventus menamatkan saingan peringkat kumpulan di belakang Barcelona dan ini bermakna Sporting CP akan bermain dalam Liga Europa.