Juventus capai objektif di sebalik segala-galanya tidak menjadi -- Allegri

Oleh Penulis Jemputan 13 Disember 2018 123
Juventus capai objektif di sebalik segala-galanya tidak menjadi -- Allegri
YOUNG BOYS 2 JUVENTUS 1

Massimiliano Allegri berasakan segala-galanya seolah-olah tidak berpihak kepada Juventus ketika mereka tumpas 1-2 kepada Young Boys dalam aksi kumpulan terakhir, Liga Juara-Juara (UCL). 


Juve tetap ke pusingan 16 sebagai juara Kumpulan H walaupun tewas berikutan kekalahan 1-2 Manchester United di Valencia, awal pagi tadi.

Jaringan berganda Guillaume Hoarau -- membuka tirai gol menerusi penalti -- meletakkan Young Boys dalam kawalan sebelum usaha Paulo Dybala memberikan Juve harapan untuk bangkit. 

Bagaimanapun, di sebalik percubaan Cristiano Ronaldo yang mengenai palang gol sebelum dia memainkan peranan untuk jaringan Dybala yang tidak diiktiraf dalam masa kecederaan, Allegri akur dengan keputusan tersebut -- kekalahan sulung Juventus di tempat lawan musim ini -- dan menganggap ia adalah keputusan yang adil.

"Kami mencapai matlamat kami untuk memenangi kumpulan biarpun segala-galanya seperti tidak berpihak kepada kami," kata Allegri kepada Rai Sport.

"Kami terlepas begitu banyak peluang dan melepaskan penalti. Oleh itu, pada penghujung hari, kami layak untuk kalah.

"Jaringan (Dybala yang tidak dibenarkan) adalah kerana ofsaid. Jaringan penyamaan tidak akan mengubah apa-apa lagi pada ketika itu.

"Kami bermula dengan baik dan tidak malas dalam pendekatan kami, cuma banyak perkara tidak menyebelahi kami. Bagaimanapun, kami masih memenangi kumpulan. Oleh itu, saya mengucapkan terima kasih kepada pemain saya," ujarnya.

Dybala memulakan permainan dari bangku simpanan, namun dia mencipta impak yang hebat menerusi jaringan yang menakjubkan.

Walaupun jaringan kedua luar biasanya dibatalkan, pemain Argentina itu menegaskan Juve mendapat pengajaran berguna daripada keputusan di luar jangkaan itu.

"Saya belum lihat lagi rakaman gol yang dibatalkan itu. Namun, apa yang penting ialah kami memenangi kumpulan biarpun perlu berterima kasih kepada Valencia yang mengalahkan Manchester United," kata Dybala kepada Rai Sport dan Sky Sport Italia.

"Kami membazirkan deretan peluang untuk memimpin perlawanan dalam babak pertama dan ia memberi keyakinan kepada mereka. Kami menyumbat dua gol, satu daripadanya dibatalkan tetapi kami bertindak balas. 

"Kekalahan ini menyakitkan kerana kami datang ke sini untuk memburu kemenangan. 

"Begitupun, ia seharusnya menjadi pengajaran untuk masa depan," katanya. 
 

Tentang Penulis

Penulis Jemputan

Komen