Bintang Juventus, Cristiano Ronaldo, mahu menyertai juara Serie A itu sejak Januari lalu, kata ejennya, Jorge Mendes.

Ronaldo, 33, meninggalkan Real Madrid untuk ke Itali menerusi perpindahan bernilai EUR112 juta (RM531 juta), Julai lalu, selepas membantu gergasi Sepanyol itu menjulang trofi Liga Juara-Juara Eropah buat kali ketiga berturut-turut.

Pemenang lima kali Ballon d'Or tampak menyinar di Juve, menjaringkan 11 gol daripada 12 penampilan bagi semua kejohanan dan Mendes mendakwa perbincangan untuk membawa Ronaldo ke Turin telah bermula sejak memasuki tahun 2018.

Mendes mendedahkan dia telah bercakap dengan beberapa individu tertinggi Juve, termasuk Pengarah Sukan, Fabio Paratici, dan Presiden, Andrea Agnelli, sebelum mereka berdepan Madrid bagi saingan suku akhir Liga Juara-Juara.

"Dia adalah pemain terbaik dalam sejarah, jadi banyak pasukan yang mahukannya," kata Mendes.

"Justeru, Juve layak menerima pujian kerana menjadikan perpindahan ini satu kenyataan.

"Ronaldo memberitahu saya Januari lalu bahawa dia mahu menyertai Bianconeri. Ketika itu, saya tidak fikir perpindahan itu mampu diselesaikan tetapi saya salah.

"Saya berjumpa Paratici dan timbalan pengerusi, Pavel Nedved, sebelum aksi Juve-Real di Turin dan turut menemui Agnelli. Sejak itu, saya percaya ia mampu dilaksanakan."

Mendes juga mendedahkan perbincangan itu berjalan selama dua atau tiga bulan.

Ronaldo menyumbat gol ke-5,000 Juve dalam saingan Serie A sewaktu menundukkan jiran, Torino, 1-0 minggu lalu tetapi kapten Portugal itu dijangka direhatkan dalam aksi berdepan sama ada AS Roma, Atalanta atau Sampdoria.