Juventus merancang untuk mengetengahkan sesi latihan kumpulan yang lebih besar setelah ujian saringan wabak novel koronavirus (Covid-19) kesemua pemain negatif.

Juara Serie A itu telah mengadakan sesi individu dalam kumpulan kecil di Continassa minggu ini dengan langkah-langkah penjarakan sosial yang ketat.

Di bawah garis panduan yang dikeluarkan oleh Persekutuan Bola Sepak Itali (FIGC), Juve melakukan saringan terbaru ke atas pasukan utama.

"Dalam beberapa hari akan datang, latihan akan bersambung semula dalam kumpulan yang lebih besar," kata kelab itu dalam satu kenyataan.

Kelab-kelab Serie A memilih untuk kembali menghidupkan musim ini pada 13 Jun depan biarpun Kerajaan Itali telah mengumumkan tiada sebarang perlawanan sekurang-kurangnya pada 14 Jun.


Keputusan mengenai apakah dan bilakah musim ini akan dilengkapkan akan terjawab Khamis depan.

Juve mendahului Serie A dengan kelebihan satu mata ke atas Lazio sebelum kejohanan itu ditangguhkan Mac lalu.

Bintang Juve, Cristiano Ronaldo, juga kembali berlatih minggu ini setelah pulang ke Turin dari tempat kelahirannya, Madeira.

Sami Khedira memuji Ronaldo sebagai pemain yang "luar biasa" dengan mengatakan rakan sepasukannya itu adalah sati teladan yang hebat.

"Cristiano merupakan pemain bola yang luar biasa dan hebat," katanya di Instagram.

"Kami telah bergandingan selama tujuh tahun, lima daripadanya di Madrid dan dua musim dengan Juventus.

"Oleh kerana kemahiran dan cita-citanya, pada pandangan saya, dia adalah salah seorang pemain bola sepak terbaik yang pernah dikenali dunia. Dia mahu menang setiap masa walaupun ia sekadar sesi latihan.

"Dia merupakan contoh buat semua orang. Itulah sebabnya dia muncul sebagai salah seorang pemain bola sepak terhebat. Saya boleh menganggap diri saya sebagai bernasib baik kerana masih beraksi dan berlatih dengannya."