Ketua Eksekutif Juventus, Giuseppe Marotta, berkata juara Itali sentiasa mahu mempunyai penjaga gol terbaik, di sebalik dikaitkan dengan pemain muda sensasi AC Milan dan Itali, Gianluigi Donnarumma.

Donnarumma dilihat sebagai pewaris takhta Gianluigi Buffon dalam skuad Itali dan Juventus, dengan pemain berusia 17 tahun itu menjadi tonggak dalam kesebelasan utama di Milan sejak membuat penampilan pertama pada Oktober tahun lepas.

Milan terus mengeluarkan amaran kepada mana-mana pasukan bahawa Donnarumma tidak boleh disentuh tetapi Marotta sekali lagi bertanyakan mengenai pemain itu, hari ini.

"Juventus telah menyumbang ramai pemain untuk pasukan kebangsaan," kata Marotta.

"Dalam tempoh 20 tahun ini, penjaga gol pasukan kebangsaan sentiasa daripada Juve: (Dino) Zoff, Buffon ... sejarah Juventus dibentuk daripada juara Itali dan bakat.

"Donnarumma? Kami tidak memikirkan mengenainya. Kami sentiasa mahu mempunyai penjaga gol terbaik.

"Hari ini, kami mempunyai Buffon, yang akan bermain dengan kami untuk beberapa tahun lagi, dan ia indah melihat dia mewakili segala-galanya yang baik tentang bola sepak.

"Selepas itu, kami akan melihat ke sekeliling dan menggantikannya dengan seseorang. Sudah tentu, ia tidak mudah untuk menggantikan pemain seperti Buffon.

"Ia adalah satu tugas yang sukar tetapi cita-cita Juventus adalah untuk mencari pengganti yang layak."