Pavel Nedved memberikan amaran kepada Juventus supaya berwaspada dengan aksi kalah mati Liga Juara-Juara (UCL) bertemu Porto.

Juve mengungguli Kumpulan H dan bakal berdepan Porto dalam misi merebut slot suku akhir UCL.

Naib presiden, Nedved, berkata Juve tidak boleh mengambil mudah perlawanan berdepan Porto kerana mereka telah menyingkirkan Roma dalam aksi play-off sebagai bukti mampu mencipta kejutan ke atas kelab dari Itali itu.

"Pada pendapat saya, kami tidak boleh mengambil mudah perlawanan ini kerana bersaing di peringkat ini, apa-apa sahaja boleh berlaku," ujar Nedved.

"Porto akan memberikan yang terbaik untuk perlawanan ini kerana mereka telah menyingkirkan satu pasukan Itali sebelum ini. Jika kami tidak mempamerkan mentaliti yang betul, kami mungkin tewas dalam perlawanan ini."

Bagaimanapun, Nedved memuji prestasi Juve musim ini di bawah kendalian Massimiliano Allegri.

"Kami sangat gembira dengan pencapaian ini. Penghargaan harus diberikan kepada staf serta pemain-pemain yang telah bekerja keras sejak permulaan musim ini."