Inter akan menjadi ancaman utama kepada Juventus dalam perebutan Scudetto musim ini, menurut Ketua Eksekutif Bianconeri, Giuseppe Marotta.

Juve telah memenangi enam gelaran Serie A, dengan yang terakhir di bawah pengendalian Antonio Conte dan Massimiliano Allegri dengan memiliki kelebihan empat mata ke atas Roma pada musim lalu.

Selepas 12 perlawanan musim ini, mereka kini ketinggalan satu mata kepada Napoli yang belum pernah tewas hasil 10 kemenangan dan dua seri.

Inter juga merupakan pesaing sengit di sebalik permulaan hambar.

Oleh itu, Marotta percaya pasukan asuhan Luciano Spalletti itu akan menyulitkan lagi usaha Juve untuk meraih kejuaraan.

"Oleh kerana mereka tidak mempunyai komitmen di peringkat antarabangsa dan Eropah, Inter boleh membuat persediaan terbaik," kata Marotta kepada Domenica Sportiva.

"Mereka adalah pasukan yang sangat mantap, mereka tidak hebat tetapi mereka klinikal dan mendapat keputusan yang baik, jadi saya rasa Inter adalah pasukan yang paling menakutkan," tambahnya.

Menurutnya lagi: "Pada masa ini, kami berada di belakang Napoli tetapi kami memungut lebih satu mata berbanding tahun lalu. Saya harus mengatakan bahawa perjalanan Napoli adalah luar biasa setakat ini.

"Keputusan seri Napoli dengan Chievo pada Ahad lalu sedikit menenangkan liga, namun mereka berada dalam perjalanan luar biasa manakala kami kekal seperti biasa.

"Pada masa yang sama, kami melakukan dengan baik berbanding tahun lepas, jadi kami sedar kedudukan itu dan mengekalkannya sangat sukar.

"Kami menggunakan perancangan kami, perancangan tertentu tatkala pengorbanan adalah penting."