Juve buat kejutan pinjam McKennie 

Oleh Shaiful Shamsudin 30 Ogos 2020 546
 Juve buat kejutan pinjam McKennie 
Juventus memuktamadkan perjanjian dengan Weston McKennie, yang tiba secara pinjaman daripada Schalke dengan kewajipan membelinya sekiranya kriteria tertentu dipenuhi.

Pemain antarabangsa Amerika Syarikat itu dianggap sebagai sasaran mengejutkan buat Bianconeri memandangkan dia lebih kerap dikaitkan dengan kelab Liga Perdana Inggeris (EPL). 

Bagaimanapun, juara Serie A itu memutuskan untuk mendapatkan pemain tengah bertahan susulan penghijrahan Blaise Matuidi ke Inter Miami di Amerika Syarikat. 
 
Juve mengesahkan telah membayar pampasan bernilai €4.5 juta (RM22.3j) bagi yuran pinjaman itu dan wajib menandatangani pemain berusia 22 tahun tersebut secara kekal dengan harga awal €18.5j (RM91.7j) -- berpotensi meningkat sebanyak €7j (RM34.7j) lagi - jika mereka "mencapai objektif tertentu pada akhir musim 2020 -21."

Sekalipun, klausa itu tidak dihidupkan, Juve masih boleh membeli McKennie dengan harga yang sama jika mereka mahu.

Ketua Sukan Schalke, Jochen Schneider, mengakui terpaksa melepaskan pemain muda berpontesi milik kelab itu disebabkan masalah kewangan.

Dia berkata: "Perjanjian dengan Juventus ini adalah tawaran yang paling menarik daripada segi kewangan buat Schalke selain ia juga langkah paling menarik untuk Weston.

"Keputusan untuk melepaskan salah seorang pemain paling berbakat seperti Weston didorong prestasi kewangan kami. 

"Kami ingin mengucapkan terima kasih kepada Weston atas persembahannya yang luar biasa dan mengucapkan semoga berjaya di Juventus."

McKennie menyertai Schalke pada 2016 dan membuat 91 penampilan buat kelab itu sejak menembusi skuad utama pada 2017-18.

Pemain serba boleh itu, yang merupakan pemain baru kedua Juve selepas Arthur dibeli daripada Barcelona, mampu mengisi posisi pertahanan atau bahagian tengah. 

Tentang Penulis

Shaiful Shamsudin

Komen