JUVENTUS 2 LOKOMOTIV MOSCOW 1

Paulo Dybala menegaskan Juventus kini berazam untuk mencabar Liga Juara-Juara Eropah selepas jaringan bergandanya memastikan pasukan itu berada di landasan tepat untuk layak ke pusingan berikutnya.


Dybala menjaringkan dua gol berselang dua minit bagi memastikan juara Serie A itu bangkit daripada ketinggalan untuk menewaskan Lokomotiv Moscow 2-1 dalam aksi Kumpulan D di Turin awal pagi tadi.

Ia menyaksikan Juve kini terikat tujuh mata dengan Atletico Madrid di kedudukan teratas selepas tiga perlawanan dan skuad kendalian Maurizio Sarri itu masih belum tewas dalam kesemua kejohanan musim ini.

Selepas menjuarai Serie A buat kali kelapan berturut-turut, kejuaraan Liga Juara-Juara dilihat sebagai sasaran utama skuad Bianconeri itu, yang tidak pernah menjuarainya sejak 1996 dan disingkirkan Ajax dalam suku akhir musim lalu.

Dybala -- yang menjaringkan gol pada minit ke-77 dan 79 -- mengakui kejayaan di peringkat Eropah merupakan sasaran utama pasukannya musim ini.

"Kami pasukan berpengalaman dan kami mahu memberikan segala-galanya dalam kejohanan ini.

"Saya fikir kami mempunyai kualiti yang mencukupi untuk melakukan sesuatu yang lebih baik berbanding tahun-tahun lalu.

"Saya amat gembira, saya benar-benar memerlukan dua jaringan seperti ini.

"Ia perlawanan yang sukar tetapi anda dapat melihat tahap pengalaman yang dimiliki pasukan kami.

"Kami sentiasa tenang hingga akhirnya menjaringkan gol," katanya.

Sarri memasukkan Gonzalo Higuain pada awal babak kedua untuk bergandingan dengan Dybala dan Cristiano Ronaldo demi memadamkan kelebihan tuan rumah selepas Aleksey Miranchuk menjaringkan gol dalam babak pertama.

"Sekarang kami sudah menang dan anda semua berasakan kami boleh beraksi bersama," tambah Dybala.

"Tetapi jika kami tewas, pandangan itu pasti berbeza.

"Saya hanya boleh katakan yang kami perlu terus berusaha keras seperti yang kami lakukan sekarang.

"Jurulatih kami memiliki idea tersendiri dan kami mempercayainya," tambahnya.