Bekas pemain Barcelona, ​​Patrick Kluivert, berkata anak lelakinya merangkap pemain sayap Roma, Justin, bercita-cita untuk mengikuti jejaknya di Camp Nou.

Justin Kluivert, 19, beralih angin dari Eredivisie ke Serie A pada Jun lalu selepas digilap menerusi akademi terkenal Ajax.

Dia telah memulakan dua perlawanan sejak tiba di ibu negara Itali berkenaan, namun diketepikan daripada skuad berwajah baru Belanda yang dibimbing Ronald Koeman.

Bagaimanapun, kemajuannya yang tersekat tidak menjejaskan matlamat pemain remaja berbakat besar itu, menurut bapanya, Patrick, yang menghabiskan enam musim produktif bersama gergasi LaLiga berkenaan.

"Sudah tentu (Justin) akan gembira bermain untuk Barcelona pada suatu hari nanti," kata jurulatih Cameroon berusia 42 tahun itu kepada La Liga Lowdown.

"Dia menyatakan tumpuan utamanya adalah bermain bersama Barcelona.

"Dia baik-baik sahaja di AS Roma. Dia berada dalam sebuah pasukan muda di samping pemain berpengalaman dan kurang berpengalaman.

"Saya fikir dia perlu beraksi lebih kerap lagi, membuat banyak larian dan saya berharap pada penghujung hari nanti, dia boleh menyertai Barcelona kerana itu juga adalah impian saya, sudah tentu.

"Jika anda melihat anak mengikuti jejak langkah anda, itulah perasaan yang hebat."