Semua ketua jurulatih pasukan Liga Malaysia (Liga-M) perlu lebih kreatif dan terbuka menerima corak latihan normal baharu mengikut prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

Pengendali Felda United Mohd Nidzam Jamil, dalam kenyataan Liga Bola Sepak Malaysia (MFL) hari ini berkata, walaupun latihan secara kontak masih belum dibenarkan, namun kesemua ketua jurulatih harus bijak menggunakan peluang, selain berfikir di luar kotak dalam mencipta jenis latihan bersesuaian.

Jelas Mohd Nidzam, meskipun ia perkara baharu dan tidak pernah berlaku dalam sejarah bola sepak, namun ‘perubahan’ itu bukan halangan buat semua pasukan untuk berusaha berlatih sehingga ke tahap maksimum.

“Sebagai jurulatih, saya kena lihat daripada perspektif bagaimana mahu melatih pemain, di samping perlu menjaga jarakan sosial dan mungkin kena fikir dalam cara falsafah bola sepak yang berlainan.

“Kita tidak boleh jadikan itu sebagai alasan sukar untuk melatih pemain dan apa-apapun kebenaran untuk berlatih perlu disambut penuh positif oleh semua pasukan.

“Saya melihat kebenaran awal diberikan kerajaan iaitu lapan ke-10 minggu sebelum bola sepak bermula, dapat sekurang-kurangnya memudahkan barisan kejurulatihan buat pelbagai perancangan yang lebih teliti dan tidak terburu-buru, dalam mendapatkan kembali kekuatan setiap pemain,” katanya.

Sementara itu, Nidzam optimis kejanggalan awal untuk setiap jurulatih dan pemain mengikuti latihan tanpa sebarang sentuhan akan berakhir, selepas tempoh satu atau dua minggu.

Beliau melihat situasi ini sebagai satu kebiasaan baharu yang perlu diterima, sepertimana pelaksanaan awal beberapa SOP melibatkan orang awam oleh MKN serta KKM.

“Saya yakin pemain boleh biasakan diri. Sama seperti SOP masuk pasar raya dan restoran diperkenalkan dahulu, perlu beratur bagi memeriksa suhu badan dan kena buat imbasan di telefon atau tulis nama di atas buku dan lama-kelamaan, kita anggap itu sebagai satu perkara biasa.

“Perkara ini juga akan berlaku kepada semua pemain dan jurulatih dalam mengikuti latihan dengan SOP, saya rasa tidak ada masalah selepas satu tempoh, apabila ia sudah jadi amalan kebiasaan,” tambah beliau.

Khamis lepas, MFL menggariskan empat perkara wajib dalam pematuhan SOP, yang perlu dipatuhi pasukan Liga-M untuk kembali memulakan sesi latihan pasukan.

-- BERNAMA