Ketua jurulatih Harimau Malaya yang baru akan diumumkan Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Selasa depan.

Nama pengendali baru itu masih dirahsiakan sehinggalah ia diumumkan secara rasmi oleh Presiden FAM, Tunku Ismail Sultan Ibrahim, tiga hari lagi.

"Untuk (jawatan) jurulatih kebangsaan seperti yang dimaklumkan presiden, kami telah memuktamadkan kontraknya dan mungkin akan diumumkan pada Selasa depan.

"Presiden sendiri yang akan mengumumkannya," ujar Setiausaha Agung FAM, Datuk Hamidin Mohd Amin.

Sebelum ini, nama jurulatih dari Portugal, Ulisses Morais dan Paolo Bento, dikaitkan akan menjadi jurulatih negara.

Pengumuman itu cukup dinantikan kerana masa kian suntuk buat skuad negara menjelang aksi kelayakan Piala Asia menentang Korea Utara, bulan depan.

Dalam perkembangan lain, FAM sudah menghantar rayuan kepada Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) berhubung aksi Malaysia berdepan Korea Utara yang kekal diadakan di Pyongyang dan keputusannya akan diketahui minggu hadapan.

Jika ditolak, FAM bakal menyediakan alternatif lain bagi memastikan keselamatan pasukan kebangsaan terjamin.

"Kami mempunyai beberapa alternatif.

"AFC ada mencadangkan kepada FAM agar kami menghantar pegawai keselamatan dan saya ke sana untuk meninjau keadaannya, minggu depan.

"Tetapi, saya perlu berbincang dengan presiden mengenai kesannya.

"Kami juga sedang menunggu jawapan terhadap rayuan kami daripada AFC yang dijangka akan diketahui pada minggu depan."