Selepas mengumumkan baru-baru ini hanya akan menggunakan khidmat jurulatih tempatan untuk saingan Liga Malaysia musim depan, Persatuan Bola Sepak Sabah (SAFA) dipercayai mengubah pendirian apabila seorang jurulatih asing, dipercayai dari Perancis, 'mendarat' di Kota Kinabalu, hari ini.

Menurut sumber, selain jurulatih berkenaan, SAFA juga dijangka akan melantik seorang pengarah sukan serta mengikat seorang penyerang, kedua-duanya juga dari Perancis.

Difahamkan, tiga warga Perancis itu dijangka tiba hari ini untuk memuktamadkan rundingan dengan SAFA yang dipercayai telah dicapai secara lisan, sebelum ini.

Sumber terbabit turut mendedahkan, jurulatih berusia 31 tahun, Steve Vilmiaire, yang memiliki kelayakan lesen 'A' UEFA bakal menduduki 'kerusi panas' Sang Badak untuk mengendali pasukan berkenaan, musim depan.

Selain itu, seorang lagi jurulatih kelahiran Perancis, Adlane Messelem, dijangka dilantik sebagai pengarah sukan dengan tugasan bagi membangunkan bola sepak di peringkat akar umbi Sabah.

Sementara itu, turut dilaporkan, Jonathan Behe, 27, bakal menjadi penggempur Sang Badak pada musim depan.

Behe sebelum ini beraksi bersama kelab gergasi Liga Singapura , Warriors FC, dengan pemain yang memiliki ketinggian 187sm itu adalah penjaring terbanyak liga berkenaan selepas meledak 19 gol daripada 23 perlawanan.