Bruno Fernandes percaya memenangi Liga Europa (UEL) akan memberikan permulaan terbaik buat Manchester United untuk mencabar gelaran Liga Perdana Inggeris (EPL) musim hadapan.

Fernandes menjaringkan gol menerusi penalti dalam masa tambahan bagi memastikan United menang 1-0 ke atas Copenhagen untuk mara ke separuh akhir UEL berdepan Sevilla Ahad ini.

Skuad kendalian Ole Gunnar Solskjaer telah gagal di peringkat separuh akhir dalam saingan Piala EFL dan Piala FA musim ini, tetapi kehadiran pemain baru Januari lalu, Fernandes, mahu memastikan mereka di landasan tepat berikutan menamatkan saingan di tempat ketiga Liga Perdana Inggeris (EPL).

"Saya berasakan sangat penting untuk menang kerana setiap pemain perlu memahami betapa pentingnya untuk menjulang gelaran untuk Manchester United," kata Fernandes.

"Bagi jurulatih, ia sangat penting sama juga buat pemain kerana kami telah bermain dengan baik.



"Saya berasakan jika kami menamatkan musim ini dengan trofi, ia tidak akan menjadi sempurna, tetapi tahun yang baik buat kami kerana Manchester United perlu bangkit memenangi lebih banyak gelaran dan berjuang dalam Liga Juara-Juara serta saingan liga. Mengakhiri musim dengan baik adalah permulaan yang cemerlang bagi musim depan.."

Kali terakhir United meraih gelaran utama adalah UEL 2017 dan Fernandes berharap dua lagi kemenangan di Jerman akan menjadi pemangkin buat skuad muda kendalian Solskjaer.

"Kami perlu terus berkembang dan memulang musim ini dengan mentaliti kemenangan," katanya. "Kami bermain untuk kelab yang besar memiliki aspirasi yang tinggi dan kami perlu menang gelaran.

"Sememangnya, EPL adalah salah satu kejuaraan yang mahu dimenangi dan berasakan menjuarai UEL akan memberikan mentaliti terbaik buat pasukan."