Kejayaan mempertahankan kejuaraan Piala Amatur Malaysia membuktikan Liga Amatur Terengganu (TAL) layak digelar liga bola sepak amatur terbaik di negara ini.

Ahad lalu, TAL All Stars gah mengatasi tuan rumah, Liga Juara-Juara Selangor (SCL) All Stars, 2-1, di Shah Alam, selain turut menang ke atas Penang All Stars sehari sebelumnya.

Menurut pengurus pasukan TAL All Stars, Abdul Rasid Jusoh, kemenangan itu satu kebanggaan dalam usaha meningkatkan kualiti liga amatur di Terengganu.

Mempertaruhkan barisan pemain muda serta tenaga kejurulatihan sedang meningkat naik, TAL All Stars, jelasnya, menyediakan peluang lebih cerah untuk mengembangkan bakat pemain.

"TAL All Stars dibarisi pemain bawah 23 tahun selain tujuh pemain berusia bawah 20 tahun.

"Adunan taktikal jurulatih muda, iaitu Muhamad Fuad Mamat, yang juga jurulatih Program Pembangunan Bola Sepak Negara (NFDP) serta disiplin pemain berjaya membuahkan hasil," kata Abdul Rasid.

Sementara itu, saingan lapan pasukan memburu gelaran juara Piala TAL diteruskan hujung minggu ini berformatkan kalah mati dengan RM12,000 menanti juara.

Antara yang bersaing ialah juara bertahan, Real Chukai FC, juara liga, Majlis Daerah Besut (MDB), DSPEX FC, CND FC, Markless ST, Island FC, FC Pemanis dan BTK FC.

Kredit foto: Liga Amatur Terengganu (TAL)