AUSTRALIA 2 JERMAN 3

Juara Piala Dunia 2014, Jerman, memulakan saingan Kumpulan B, Piala Konfederasi dengan langkah kanan apabila menewaskan Australia 3-2 di Stadium Fisht, Sochi, awal pagi tadi hasil jaringan Lars Stindl, Julian Draxler dan Leon Goretzka.


Stindl membuka tirai jaringan pada awal permainan dengan percubaan kemas selepas menerima hantaran Julian Brandt. Bagaimanapun, juara Asia itu menyamakan kedudukan hasil daripada kesilapan penjaga gol, Bernd Leno, yang membuka ruang buat Tom Rogic melakar nama selaku penjaring.

Jerman, bagaimanapun, kembali di depan tiga minit kemudian menerusi Draxler yang menyempurnakan sepakan penalti sebelum Goretzka meledak gol ketiga dalam babak kedua.

Tomi Juric memastikan Australia terus memberikan saingan dengan gol kedua pada minit ke-56 hasil bantuan rRakaman Video Bantuan Pengadil (VAR), namun kekurangan kualiti di jentera serangan gagal menghasilkan sebarang tekanan terhadap skuad kendalian Joachim Low.

Die Mannschaft akan berdepan Chile dalam aksi Khamis ini sementara Australia bakal menghadapi Cameroon dalam perlawanan kedua.