Juara Copa America terlepas kelayakan ke Russia 

Oleh Penulis Jemputan 11 Oktober 2017 14152
Juara Copa America terlepas kelayakan ke Russia 
BRAZIL 3 CHILE 0 

Brazil membuat juara Copa America, Chile, menggigit jari apabila terlepas tempat dalam Piala Dunia 2018 setelah menang 3-0 dalam pusingan kelayakan di Allianz Parque, Sao Paulo, sebentar tadi. 


Brazil, yang sudah mengesahkan tempat di Russia tahun hadapan, tidak memberi muka buat lawan mereka itu, dengan Paulinho dan Gabriel Jesus menggegar gawang dalam tempoh dua minit pada babak kedua selepas menguasai sebahagian besar perlawanan. 

Juara lima kali itu, yang bertekad untuk memberikan aksi terbaik sebagai hadiah terbaik buat peminat, mengasak sejak awal permainan apabila dinafikan dua sepakan penalti. 

Namun, kesilapan Claudio Bravo yang gagal menampan kemas sepakan percuma Daniel Alves membawa padah apabila bola muntah itu ditolak masuk oleh Paulinho.

Gawang Chile sekali lagi bergegar apabila Jesus yang menerima hantaran rendah Neymar, tenang menyudahkan peluang tersebut. 

Jesus kemudian menambah satu lagi gol pada masa kecederaan apabila mudah menolak masuk bola ke gawang yang terbuka selepas penjaga gol lawan, Bravo, meninggalkan posisinya dalam usaha memburu gol. 

Dalam perkembangan lain, Uruguay turut layak apabila mengetepikan cabaran Bolivia 4-2 di Montevideo. 

La Celeste berdepan keperitan apabila ketinggalan menerusi gol sendiri Gaston Silva. Sebelum babak pertama berakhir, Uruguay mula mencengkam dominasi permainan dan menuai hasil menerusi jaringan Martin Caceres dan Edinson Cavani.

Luis Suarez turut mengukir nama selaku penjaring dengan dua gol sebelum Diego Godin juga tertolak bola ke gawang sendiri untuk mereka mengakhiri proses kelayakan CONMEBOL dengan tidak menentu di belakang Brazil, manakala Argentina di tangga ketiga dan Colombia keempat. 

Peru akan melalui pusingan play-off apabila menamatkan saingan di tempat kelima. 
 

Tentang Penulis

Penulis Jemputan

Komen