Luka Jovic mampu menonjol di Real Madrid sekiranya diberikan masa, kata bekas ketua pasukan Eintracht Frankfurt, Alexander Meier.

Jovic menyertai Eintracht secara pinjaman selama dua tahun daripada Benfica pada 2017 dan selepas bergelut di Portugal, dia akhinya menemui rentak dalam Bundesliga.

Pemain antarabangsa Serbia itu menjaringkan 17 gol musim lalu selain meledak 10 gol lagi dalam saingan Liga Europa ketika membawa Eintracht mara ke separuh akhir.

Prestasi itu mendorong Madrid untuk membayar €60 juta (RM278.5j) sebagai pampasan ke atas khidmat pemain berusia 21 tahun itu tetapi dia hanya membuat dua penampilan dalam kesebelasan utama perlawanan LaLiga setakat ini berikutan Karim Benzema kini di kemuncak prestasinya.

Meier, yang sempat mengharungi tempoh semusim beraksi di samping Jovic, bagaimanapun, menegaskan tiada sebab untuk panik berhubung pemain itu kurang mendapat tempat, begitu juga dengan situasi Sebastien Haller dan Ante Rebic yang meninggalkan Eintracht untuk menyertai West Ham dan AC Milan.

Bercakap kepada Omnisport, pemain Western Sydney Wanderers itu berkata: "Menyertai Real Madrid bukan satu kesilapan dan mereka kini dalam liga terbaik di dunia. Mereka berpindah ke kelab-kelab gergasi dan saya fikir ia adalah langkah terbaik untuk kerjaya mereka.

"Apabila anda pergi ke satu tempat baru, ia akan mengambil masa (untuk menyesuaikan diri) dan saya yakin Jovic akan menyerlah di sana.

"Selepas dua atau tiga minggu, anda boleh mula nampak betapa bagus penyudahnya. Dia boleh melakukan segala-galanya: dengan kaki kiri, kaki kanan dan kepala. Dia adalah pemain sempurna di depan gawang."