Luka Jovic hanya mahukan kejayaan di Real Madrid dan mendengar Santiago Bernabeu bersorak namanya, kata pelatih peribadi, Bojan Custic, walaupun masa depan penyerang itu diragui.

Jovic bergelut untuk mencapai aksi terbaik sejak melengkapkan perpindahan EUR60 juta (RM285 juta) daripada kelab Bundesliga, Eintracht Frankfurt, di mana dia menjaringkan 27 gol bagi musim 2018-19.

Pemain berusia 22 tahun dari Serbia itu hanya mencatat dua gol dalam 24 penampilan buat Real tatkala dia dikaitkan dengan perpindahan ke Borussia Dortmund dalam usaha membawa Erling Haaland ke ibu negara Sepanyol itu.

Jovic -- yang dikritik kerana melanggar perintah kawalan di Serbia sewaktu wabak coronavirus -- dilaporkan turut menjadi sasaran kelab Liga Perdana Inggeris, Arsenal.

Namun, Custic memberitahu Diario AS: "Dia memberitahu hanya mahukan kejayaan di Real, meraih karier hebat dan mendengar Bernabeu bersorak namanya. Dia pasti akan mampu mencapainya.

"Ramai rakan sepasukan bercakap dan cuba membantunya. Dia akan mencapai potensi dimiliki dan hanya perlu bersabar."

LaLiga ditangguhkan bulan lalu susulan COVID-19 tetapi Jovic cuba untuk kekal cergas jika kempen 2019-20 diteruskan.

"Dia dalam keadaan terbaik, berasa sihat dan cergas," tambah Custic.


"Jovic berlatih di rumah selama tiga jam sehari. Setiap pagi, kami melalui sesi sejam dan tengahari, dua jam untuk berprestasi tinggi, melibatkan fizikal.

"Dia mempunyai treadmill di rumah, berlatih menggunakan basikal selain kelengkapan lain. Kami melakukan latihan yang spesifik untuk pemain bola sepak, mengambil kira pergerakan serta latihan yang diperlukan.

"Setiap 14 hari, kami menyemak sesi latihan yang telah dijalankan dan melihat tahap kecergasannya."