Pengendali Liverpool, Jurgen Klopp, mendedahkan pemain baru, Diogo Jota, telah melampaui jangkaannya sendiri setelah menjaringkan gol kemenangan menentang West Ham awal pagi tadi.

Dengan perlawanan terikat 1-1 dan The Reds kelihatan buntu mencari gol kemenangan pada 20 minit terakhir perlawanan di Anfield, Klopp membawa masuk pemain baru pasukan daripada bangku simpanan.

Jaringan Jota telah dibatalkan VAR tujuh minit kemudian sebelum perlawanan memasuki lima minit terakhir, gandingan bersama Xherdan Shaqiri akhirnya membuahkan hasil.



Ia merupakan jaringan ketiga pemain kelahiran Portugal itu dalam tiga penampilan bersama kelab dan keempat secara keseluruhan sejak berhijrah dari Wolves September lalu.

Ketika ditanya apakah skala impak Jota telah mengejutkannya, Klopp memberitahu BBC Sport, "Ya, sudah tentu.

"Kami berjuang dengan bersungguh-sungguh sehingga kami dapat menandatanganinya -- kita tidak perlu meyakinkannya terlalu banyak tetapi kita benar-benar harus memperjuangkannya.

"Kami tahu bahawa dia adalah bakat yang luar biasa. Dia mempunyai semua yang saya suka dalam pemain bola sepak; dia mempunyai kepantasan, dia mempunyai fizikal, dia memiliki teknik, dia berkaki dua, dia jelas dalam fikiran, sangat pintar dalam bola sepak.


"Namun kami tidak dapat menilai sepenuhnya sehinggalah bersama pasukan. Dan dia jauh lebih baik daripada yang saya sangka, jadi sangat mengagumkan."

Dengan Virgil van Dijk tidak akan beraksi bagi jangka masa panjang sementara Fabinho dan Joel Matip dalam proses pemulihan, Klopp memberikan debut kepad Nathaniel Phillips ketika berdepan The Hammers.

Pemain berusia 23 tahun itu beraksi cemerlang, mengawal gerakan penyerang pasukan lawan, Sebastien Haller.

Phillips, yang hampir meninggalkan Anfield dalam jendela perpindahan baru-baru ini, turut menyempurnakan 81.5 peratus hantaran dan menghasilkan peluang, walaupun kekuatannya jelas terletak pada pertahanan.