Dick Advocaat mengesahkan tidak akan memperbaharui kontraknya bersama Belanda sebaik
sahaja kontrak sedia ada tamat selepas aksi persahabatan menentang Scotland dan
Romania.


Pengurus berusia 70 tahun itu mengambil-alih jawatan ketua jurulatih Belanda selepas Danny
Blind dipecat.

Belanda memenangi empat perlawanan daripada lima aksi kelayakan Piala Dunia di bawah
kendalian Advocaat tetapi ia tetap tidak mencukupi untuk membawa mereka ke Russia
tahun depan selepas hanya menduduki tangga ketiga di belakang Perancis dan Sweden.

Skuad Oranje bakal bertemu Scotland di Aberdeen malam ini sebelum berlepas ke
Bucharest untuk menentang Romania pada Selasa depan, menyaksikannya sebagai dua
perlawanan terakhir kendalian Advocaat.

"Saya bakal menamatkan kontrak selepas dua perlawanan terakhir ini dan akan berhenti
daripada mengurus pasukan kebangsaan," katanya di Scotland.

Bagaimanapun, Advocaat menolak untuk membincangkan mengenai perancangannya selepas
ini.

"Saya masih belum menjelaskan apa yang akan dilakukan selepas ini dan tiada kelab yang tahu
sama ada saya bebas atau tidak.

"Biarkan dua perlawanan ini tamat dahulu dan kita akan ketahui apa berlaku selanjutnya.
Saya mengikut cara Louis van Gaal, tidak akan pernah berkata "tidak"," ujarnya.