Pengurus skuad kebangsaan Jerman, Joachim Low, berkata dunia kini sedang menghadapi masalah besar tatkala wabak coronavirus memerlukan perhatian dunia moden.

Dalam satu sidang media semalam, Low berkata dia terpaku dengan krisis yang melanda terutama selepas wabak itu kini menyebabkan 9,000 kematian.

Dia berkata situasi itu telah mengingatkannya tentang kepentingan keluarga dan rakan-rakan yang mengatasi kekuatan dan keuntungan.

Kerajaan kini sedang sibuk berusaha mengatasi wabak COVID-19 sambil banyak negara sudah menjalankan status darurat dan kuarantin.


"Sejak beberapa hari lalu, saya sangat sibuk dan berwaspada," katanya.

"Dunia kini sedang dilanda ujian besar. Ia bukan untuk individu tetapi semua orang. Saya fikir dunia agak marah dengan orang ramai. Semua orang sentiasa fikir mereka tahu dan mampu melakukan apa sahaja.

"Kelajuan yang telah ditetapkan manusia sejak beberapa tahun kini tidak boleh ditingkatkan. Kekuatan, tamak serta keuntungan dan catatan sejarah kini bukan keutamaan. Pencemaran sekitar atau pembakaran hutan di Australia juga telah mengingatkan kami. Begitu juga dengan virus Ebola dari Afrika.

"Kini, kami melalui sesuatu yang mampu memberi kesan kepada setiap individu dan kemanusiaan.

"Kini, kami juga sedar sudah tiba masa untuk melihat perkara lebih penting."

Skuad kebangsaan Jerman semalam telah menderma sebanyak EUR2.5 juta (RM11.8 juta).

"Kami menyedari nilai dimiliki keluarga, rakan-rakan serta mengingatkan tentang cara menghormati antara satu sama lain," tambah Low.