Pemain tengah, Koke, mencadangkan penyerang, Antoine Griezmann, boleh meninggalkan Atletico Madrid jika dia tidak lagi komited kepada kelab itu.

Bintang Perancis itu telah bersetuju untuk menyertai Barcelona dengan nilai perpindahan yang bakal mencecah EURO90 juta (RM441 juta).

Griezmann turut dikaitkan dengan Manchester United dalam jendela perpindahan yang lalu tetapi mengakui ia dirasakan seperti mengkhianati Atletico di kala mereka tidak dapat menandatangani mana-mana pemain kerana digantung oleh FIFA sehingga tahun depan.

Bagaimanapun, khabar angin terhadap minat Barcelona hadir dengan rentetan persembahannya yang kurang menyerlah dalam beberapa perlawanan sebelum ini apabila Griezmann sekadar menjaringkan dua gol dalam saingan LaLiga musim ini, meningkatkan lagi spekulasi bahawa perjalanannya bersama skuad kendalian Diego Simeone itu semakin menghampiri penghujungnya.

Koke menegaskan rakan sepasukannya perlu mendedikasi diri untuk Atletico tetapi kelab mampu mengharunginya jika pemain tersebut tidak berhasrat untuk kekal.

"Benar, kami menghadapi saat yang sukar, gagal untuk mempamerkan aksi terbaik," katanya.

"Griezmann, dia boleh meninggalkan kelab pada musim panas lalu tetapi dia tidak melakukannya. Saya berasakan dia gembira bersama kelab.

"Tetapi kelab ini hanya mahukan pemain yang berada pada tahap terbaik dan komited dalam setiap perlawanan," tegasnya.

Atletico akan berdepan juara Sepanyol, Real Madrid, dalam aksi LaLiga hari ini dan kemenangan sangat penting bagi terus mengejar pendahulu saingan, Barcelona.

Real telah tewas dalam dua perlawanan berturut-turut di laman lawan ketika bertemu Girona dan Tottenham tetapi Koke tidak menjangkakan ia akan berkekalan.

"Kami masih belum dapat melihat persembahan terbaik Real untuk musim ini. Mereka mempunyai barisan pemain terbaik dan sentiasa memberikan yang terbaik.

"Setiap perlawanan bertemu Real adalah penting. Kami berharap dapat mencipta kemenangan," tambahnya.