JEPUN 1 BRAZIL 3

Gabriel Jesus percaya dia perlu terus bekerja keras untuk mendapatkan tempat dalam skuad Brazil ke Piala Dunia selepas mencipta kemenangan 3-1 ke atas Jepun dalam aksi persahabatan.


Penyerang Manchester City itu menyempurnakan kemenangan Brazil di Lille, sekaligus mencatat jaringan kelapan bersama skuad senior, sekaligus meneruskan momentum cemerlang yang dipamerkan sejak permulaan musim 2017-18.

Tetapi Jesus meletakkan sasaran untuk bergandingan dengan Neymar di jentera serangan untuk Brazil dalam Piala Dunia, dengan pemain berusia 20 tahun itu tidak mengambil mudah menjelang kejohanan terbesar bola sepak yang bakal diadakan di Russia.

"Ketika mereka menyatakan bahawa saya akan beraksi dalam Piala Dunia, saya berasakan ia terlalu cepat kerana ini adalah pasukan Brazil. Saya tidak melihat sedemikian.

"Tiada siapa yang memiliki jaminan. Hari ini anda beraksi, esok terdapat pemain lain yang boleh mengisi kekosongan itu. Anda perlu mengekalkan prestasi terbaik untuk kelab dan skuad kebangsaan," katanya lagi.Neymar menjadi perbualan utama untuk Brazil selepas menjaringkan satu gol menerusi sepakan penalti dan gagal melakukannya pada kali kedua ketika bertemu Jepun.

Tetapi Jesus berasakan pemain termahal dunia itu mampu mengekalkan persembahannya, malah tidak akan terkesan dengan berita-berita negatif terhadapnya dirinya.

"Saya melihat Neymar sebagai seorang pemain berkualiti. Prestasinya tidak tergugat dengan berita-berita negatif," ujarnya.

Pertahanan Brazil, Marcelo, turut berjaya mencipta jaringan manakala Tomoaki Makino mencetak gol sagu hati buat Jepun.