Jesus harap Barcelona rehatkan Messi

Oleh Penulis Jemputan 23 November 2017 69
Jesus harap Barcelona rehatkan Messi
Pengendali Sporting Lisbon, Jorge Jesus, percaya pasukannya mampu melakar kejutan ke atas Barcelona dalam pertemuan terakhir Kumpulan D, Liga Juara-Juara, susulan kejayaan menundukkan Olympiacos 3-1, awal pagi tadi.

Pasukan dari Portugal itu perlu mendapatkan tiga mata dalam kunjungan ke Camp Nou sambil mengharapkan Juventus gagal menewaskan Olympiacos di Greece.

Setelah Barca mengesahkan tempat ke pusingan kedua, mereka mungkin menurunkan skuad kedua.

Melihat cabaran selepas menjinakkan Olympiacos dengan aksi yang terpuji, Jesus juga menyifatkan seandainya anak-anak buahnya terpaksa bersaing dalam Liga Europa, ia bukan sesuatu yang memalukan setelah berjaya memberikan tentangan sengit kepada dua pasukan pilihan, Barcelona dan Juventus.

"Kami ke Camp Nou untuk perlawanan yang melibatkan dua pasukan terbaik di dunia. Buat masa sekarang, Liga Europa tidaklah begitu memalukan.

"Saya percaya tidak ramai yang yakin Sporting Lisbon akan berjaya melayakkan diri ke peringkat seterusnya.

"Kemenangan boleh diraih, lebih-lebih lagi jika Lionel Messi tidak bermain. Saya berharap Barca akan merehatkan pemain," kata Jesus.

Penyerang dari Belanda, Bas Dost, menjaringkan dua gol pertamanya dalam saingan Liga Juara-Juara musim ini ketika menentang Olympiacos sambil Bruno Cesar menambah satu jaringan lagi ketika aksi berbaki empat minit.

Vadis Odjidja-Ofoe menjaringkan gol sagu hati buat anak buah Takis Lemonis, namun bagi Jesus, skuad bimbingannya telah menampilkan aksi yang hebat.

"Terdapat dua sasaran pada hari ini. Memenangi perlawanan dan cuba  memastikan pemain-pemain yang kembali daripada kecederaan tidak mengalami apa-apa masalah," ujarnya.

Tentang Penulis

Penulis Jemputan

Komen