Gabriel Jesus optimis mengenai masa depannya dalam skuad kebangsaan Brazil apabila menjaringkan gol dalam penampilan antarabangsa pertamanya selepas mengharungi saat sukar ketika saingan Piala Dunia lalu.

Brazil berdepan Arab Saudi dalam aksi persahabatan di Riyadh semalam dan merakamkan kemenangan 2-0, dengan Jesus membuka jaringan selepas mempamerkan pergerakan cemerlang bersama Neymar.

Penyerang Manchester City itu merupakan bualan utama dan menjadi sasaran kritikan di Russia selepas gagal mencetak sebarang jaringan sebelum Brazil tersingkir daripada saingan di tangan Belgium.

Pengendali Brazil, Mano Menezes, cuba meletakkan keyakinan terhadap gandingan Jesus-Neymar setiap kali beraksi sementara beberapa pihak mahukan Roberto Firmino diturunkan dalam kesebelasan utama.

Jesus menerima hakikat dia melewati kejohanan yang hambar tetapi berharap untuk kekal sebagai pemain utama Brazil.

"Sememangnya, saya sangat sedih," kata Jesus.

"Kesukaran dihadapi dalam Piala Dunia sukar untuk dilupakan.

"Saya berharap untuk melakukan lebih lagi untuk pasukan dan ia dimulakan dengan kemenangan dalam perlawanan ini."

Alex Sandro menjaringkan gol kedua Brazil selepas menanduk hantaran Neymar sementara Arab Saudi terpaksa menamatkan perlawanan dengan 10 pemain selepas penjaga gol, Mohammed Al-Owais, diarah keluar padang kerana menghalang rembatan Richarlison di luar kotak penalti.