Fabio Capello percaya harapan menggunung yang telah diletakkan kepada England untuk mengulangi kejayaan 1966 berbahaya kepada pemain-pemain The Three Lions dalam kejohanan utama.

England memenangi Piala Dunia 54 tahun lalu dan mengalami kekecewaan dalam banyak kejohanan sejak itu, termasuk ketika dikendalikan Capello antara 2007 dan 2012.

Pengendali kelahiran Itali itu mengendalikan pasukan dalam saingan Piala Dunia 2010, di mana England tunduk 4-1 kepada Jerman dalam pusingan 16.

"Jersi England sungguh berat," kata Capello kepada The Guardian.

"Masa terlalu banyak telah berlalu tanpa kemenangan -- '66 adalah masalahnya kerana setiap kali bermulanya Piala Dunia atau Euro, mereka berasakan mampu melakukannya sekali lagi. Sentiasa.

"Penting buat pemain-pemain beraksi tanpa sebarang tanggungjawab yang terlalu berat, beraksi dengan lebih bebas. Sejujurnya, saya berasakan pemain-pemain England sudah kepenatan pada permulaan kejohanan.

Capello menjelaskan bahawa sifat kompetitif Liga Perdana Inggeris, yang memperkenalkan jadual padat musim panas ini, antara faktor mereka gagal di pentas antarabangsa.

"Pada bulan September, Oktober, November, kami tidak menghadapi sebarang masalah bermain berdepan pasukan terbaik dunia.

"Mac, April, biasa-biasa sahaja. Pada Jun, masalah, saya berasakan pemain sudah kepenatan.

"Anda bermain banyak perlawanan bersama kelab dan budaya saingan EPL, bersaing tanpa henti walaupun ketinggalan empat gol."

Gareth Southgate membawa England ke semi final Piala Dunia dua tahun lalu namun ditewaskan Croatia dalam masa tambahan di Russia.

"Pasukan saya agak berusia, kami tidak memiliki pemain-pemain muda sebelum ini yang tidak mengenali erti penat.

"Harry Kane dan Raheem Sterling sangat penting. Terdapat kualiti, kepantasan, segalanya. Kebimbangan saya kini hanyalah barisan pertahanan, tetapi mereka sangat muda dan sangat segar."

"Anda perlu yakin dengan pasukan England sekarang."