Pemain negara menerima baik kemunculan jersi baru yang akan dipakai dalam Piala AFF Suzuki 2016 bermulahujung minggu ini, dengan menganggapnya sebagai satu suntikan semangat untuk menghadapi kejohanan itu.

Pemain sayap, Mohd Zaquan Adha Abdul Radzak, berkata rekaan jersi kali ini lebih mengutamakan keselesaaan pemain, yang pasti menambah motivasi untuk berjuang dalam Piala AFF Suzuki di Filipina dan Myanmar, 19 November-17 Disember ini.

"Kami berasa lebih bersemangat selepas menerima jersi baru, rekaan baru dan warna baru. Bagi saya, ia lebih baik kerana ia mengikut ukuran bentuk badan, yang memudahkan kami untuk berlari dan ringan ketika bermain," katanya.

Nada sama turut dilontarkan tonggak tengah, Baddrol Bakhtiar, terhadap rekaan jersi baru skuad kebangsaan.

"Bagi saya, rekaan kali ini yang akan dipakai oleh pemain-pemain Malaysia dalam Piala AFF Suzuki begitu selesa. Ia juga menampakkan kami akan lebih menyerlah di atas padang. Rekaan dan warnanya sedikit-sebanyak nampak lebih bersemangat di atas padang," kata Baddrol.

Seragam yang diperkenalkan Nike kali ini tidak lagi menggunakan jalur hitam-kuning seperti rekaan terdahulu, sebaliknya ia lebih menonjolkan warna hitam untuk jersi utama dan putih untuk jersi kedua skuad kebangsaan.

Zaquan dan Baddrol ditemui ketika majlis pelancaran jersi baru skuad kebangsaan hari ini bersama dua lagi pemain negara, Matthew Davies, Nazirul Naim Che Hashim dan jurulatih negara, Datuk Ong Kim Swee.

Dengan kemenangan yang diraih dalam perlawanan persahabatan menentang Papua New Guinea, petang semalam, apakah Harimau Malaysia sudah bersedia dengan berbaki tiga hari lagi untuk ke Piala AFF Suzuki?

Saksikan aksi pertama skuad negara menentang Kemboja, Ahad ini, secara langsung di Foxsports 812 dan 832 HD.