Pengendali Australia, Ange Postecoglou, mengakui pasukannya gagal menandingi kehebatan Jerman selepas tewas 3-2 dalam aksi Kumpulan B, Piala Konfederasi, malam tadi.

Joachim Low menamakan skuad muda bagi kejohanan itu, namun mereka masih mempamerkan kualiti selaku juara dunia.

Pemain tengah Borussia Monchengladbach, Lars Stindl, membuka tirai jaringan seawal minit kelima sebelum The Socceroos menyamakan kedudukan hasil percubaan Tom Rogic.

Kedudukan tersebut tidak kekal lama apabila Julian Draxler kembali meletakkan Jerman di depan menerusi sepakan penalti sebelum Leon Goretzka menemui gol ketiga sebaik bermula babak kedua.

Australia berjaya mencuri gol kedua menerusi Tomi Juric pada minit ke-56, namun gagal menambah sebarang jaringan sehingga akhir perlawanan.

"Saya kecewa. Keputusan ini tidak adil buat pemain yang telah beraksi mengikut perancangan," ujar Postecoglou.

"Mereka (Jerman) mendominasi babak pertama. Kami memberikan ruang besar kepada mereka untuk bergerak.

"Mereka terlalu hebat. Kami boleh dikira bernasib baik kedudukan kekal 2-1 dalam babak pertama.

"Babak kedua kami beraksi dengan lebih kemas. Pemain lebih tenang dan bijak dalam bertahan.

"Secara keseluruhan, kami kecewa."

Postecoglou menambah: "Tidak syak lagi kami memiliki skuad yang berkualiti. Kami cuba bermain mengikut perancangan spesifik tetapi bukan mudah untuk melakukannya berdepan lawan yang kuat.

"Kekalahan ini tanggungjawab saya."

Australia akan berdepan Cameroon di St. Petersburg, Khamis ini.