Jerman kini hanya memerlukan keputusan seri untuk memastikan tempat dalam saingan Piala Dunia 2018 selepas menewaskan Norway 6-0 dalam aksi kelayakan Kumpulan C peringkat Eropah di Stuttgart, awal pagi tadi.

Mesut Ozil membuka tirai jaringan pada minit ke-10 menerusi rembatan kaki kiri sebelum Julian Draxler menambah gol kedua, tujuh minit kemudian.

Penyerang RB Leipzig, Timo Werner, menjadikan kedudukan 3-0 pada minit ke-21 selepas tindakan bijak Thomas Muller yang memperdayakan pertahanan pelawat dan membuka ruang buat Werner untuk mudah menolak bola masuk.

Werner sekali lagi bertindak cemerlang ketika babak pertama berbaki lima minit apabila melonjak tinggi untuk menanduk masuk gol keempat Jerman hasil hantaran lintang Muller.

Leon Goretzka menambah duka Norway dengan gol keempat pada minit ke-50 sebelum tandukan terbang daripada penyerang berusia 32 tahun, Mario Gomez, memastikan kemenangan 6-0 menjadi milik skuad kendalian Joachim Low.

Jerman bakal berdepan Ireland Utara dan Azerbaijan dalam baki aksi kelayakan Piala Dunia 2018 pada 6 dan 9 Oktober.