Jerman lebih bagus selepas dikritik -- Hummels

Oleh Staff Writer 21 Jun 2018 1136
Jerman lebih bagus selepas dikritik -- Hummels
Pertahanan Jerman, Mats Hummels, menegaskan keadaan dalam pasukannya bertambah baik selepas dikritik hebat susulan kekalahan mengejut 1-0 di tangan Mexico dalam aksi pertama Piala Dunia, minggu lalu.

Hummels adalah antara pemain yang beraksi sewaktu tewas di tangan Mexico dan pertahanan Bayern Munich itu menyelar percaturan yang dilakukan oleh pengendali, Joachim Low.

Bagimanapun, dia menegaskan semangat dalam pasukan tetap tinggi walaupun wujud dakwaan keharmonian dalam skuad terjejas dan semua pemain kini sedar bahawa mereka tiada pilihan selain mencatat kemenangan dalam aksi bertemu Sweden, Sabtu ini.

"Keadaan dalam pasukan bertambah baik dan kini kami berada di landasan sebenar," kata Hummels.

"Semua pemain mahu kembali ke prestasi asal. Moral kami sedikit terjejas sebelum ini tetapi kini kami tahu peluang masih ada untuk mengharungi kempen yang baik di Russia.

"Kami berbincang dengan baik, bercakap tentang kelemahan dan ia membantu kami. Sudah tentu Jerman mengejar kemenangan dan ingin melupakan kekalahan di tangan Mexico."

Sementara itu, rakan sepasukan Hummels, Mario Gomez, menegaskan aksi bertemu Sweden akan menjadi penentu kepada nasib Jerman dalam saingan kali ini.

"Seluruh pasukan harus beraksi di tahap terbaik kerana kini, semua perlawanan diibaratkan pusingan kalah mati," ujar Gomez.

"Jadi, kami mempunyai dua perlawanan kalah mati selepas ini walaupun ia masih dalam peringkat kumpulan."

Tentang Penulis

Staff Writer

Komen