Jepun merakamkan kemenangan ketiga berturut-turut di bawah kendalian Hajime Moriyasu apabila mengatasi Uruguay, semalam.

Samurai Biru mengatasi Uruguay 4-3 di Stadium Saitama hasil dua gol daripada Takumi Minamino sebelum Yuya Osako dan Ritsu Doan menambah jaringan.

Uruguay – yang turun beraksi tanpa Luis Suarez yang sedang menanti kelahiran anak ketiganya -- bertindak balas menerusi jaringan GastonPereiro, Edinson Cavani dan Jonathan Rodriguez tetapi gagal mengelak daripada kekalahan kedua berturut-turut dalam aksi persahabatan selepas tewas kepada Korea
Selatan, minggu lalu.

Minamino membuka jaringan selepas 10 minit perlawanan berlangsung mengatasi penjaga gol, Fernando Muslera, tetapi Pereiro menyamakan kedudukan pada minit ke-28.

Osako meletakkan Jepun kembali di hadapan sebelum Cavani menyamakan kedudukan tetapi Jepun mendahului 3-2 dua minit kemudian apabila Doan menyudahkan peluang terhidang.

Minamino menjaringkan gol keempat Jepun pada minit ke-66 sebelum Rodriguez memastikan Uruguay mengejar saingan tetapi Jepun mengesahkan kemenangan selepas mengatasi Costa Rica dan Panama.