Johor Darul Ta’zim (JDT) tidak akan mengambil mudah kekuatan dua pasukan baru yang membabitkan Persija Jakarta dari Indonesia dan Song Lam Nghe An FC dari Vietnam selepas ketiga-tiga pasukan itu diundi dalam Kumpulan H, Piala AFC 2018.

Turun dengan kredibiliti selaku juara Piala AFC 2015, JDT tetap berwaspada dengan kelibat dua pasukan baru itu yang diundi bersama mereka, terutama Persija Jakarta yang buat kemunculan pertama dalam saingan Piala AFC selepas bebas daripada penggantungan Liga Indonesia.

Tegas penolong jurulatih JDT, Ismail Ibrahim, setiap pasukan dijangka membawa kekuatan tersendiri, apatah lagi kelibat dalam Piala AFC sendiri membuktikan mereka adalah yang terbaik dalam saingan liga negara masing-masing.

"Saya berasakan Persija mampu memberikan tentangan yang hebat kepada JDT kerana tidak beraksi selama setahun dalam kejohanan ini," katanya.

Bagaimanapun, Ismail mengharapkan JDT akan lebih bernasib baik dalam undian Liga Juara-Juara Asia (ACL).

Mereka perlu melepasi pusingan awal kedua kelayakan bertemu Muangthong United dari Thailand bagi mengisi slot play-off bertemu kelab keempat Jepun sebelum boleh menempatkan diri dalam saingan peringkat kumpulan.

"Muangthong adalah pasukan yang kuat, kami bertemu mereka pada 2016 dan tewas. Kami akan bertemu mereka sekali lagi dan berharap mendapat keputusan yang positif."

Kredit imej: FB Johor Southern Tigers