Mustahil untuk Johor Darul Ta'zim (JDT) menjuarai Liga Juara-Juara Asia (ACL) dalam tempoh terdekat, malah peluang untuk skuad Harimau Selatan itu menutup musim domestik 2019 dengan Piala Malaysia ketika menentang Kedah disifatkan sebagai 50-50.

Itu pandangan pemilik JDT, Tunku Ismail Sultan Ibrahim, susulan lawatan ke ibu pejabat Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) di Bukit Jalil, hari ini.

Tunku Ismail meluangkan masa bersama Setiausaha Agung AFC, Datuk Windsor Paul John, bagi mendapatkan perkembangan membabitkan penambahan pasukan dalam saingan ACL bermula musim 2021.

Skuad Harimau Selatan itu, yang memperoleh laluan automatik ke peringkat kumpulan ACL musim depan sebagai juara Liga Super, disifatkan Tunku Ismail sebagai pendatang baru berbanding skuad terbaik Asia yang konsisten mencabar saingan tersebut.

"Untuk memenangi ACL, ia hampir mustahil. Namun, dalam bola sepak macam-macam boleh berlaku. Saya tidak fokus ke arah itu tetapi lebih suka melihat JDT berada dalam saingan ACL kerana ia lebih berprestij dan memberi pendedahan kepada anak-anak tempatan yang mewakili JDT," katanya.

Dalam masa sama, Tunku Ismail juga berasakan Kedah memiliki peluang seimbang untuk menambah koleksi trofi domestik susulan gelaran juara Piala FA, musim ini.

Final Piala Malaysia, Sabtu ini disifatkan sebagai pertembungan dua pasukan terbaik dalam saingan Liga Malaysia ketika ini.

"50-50 dan apa sahaja boleh berlaku. Saya mengucapkan selamat maju jaya kepada kedua-dua pasukan," katanya.