JDT meniti ranjau play-off Liga Juara-Juara Asia

Oleh Staff Writer 13 Disember 2016 5
JDT meniti ranjau play-off Liga Juara-Juara Asia
Juara Piala AFC 2015, Johor Darul Ta'zim (JDT), bertekad menebus kegagalan tahun ini tatkala pendatang baru, Felda United, bersikap realistik bagi mengharungi cabaran Piala AFC yang menampilkan format baru, musim depan.

Saingan Piala AFC musim depan nyata mencabar buat 36 pasukan, terutama wakil Malaysia, JDT dan Felda United.

Dalam majlis undian yang berlangsung di ibu negara hari ini, JDT diundi dalam kumpulan F bersama Magwe FC dari Myanmar, Global FC (Filipina) dan pemenang play-off di antara Lao Toyota (Laos) dan Boeung Ket Angkor (Kemboja).

Felda United pula diletakkan bersama Hanoi T&T dari Vietnam, Tampines Rovers (Singapura) dan Ceres Negros FC (Filipina).

"Kami meletakkan sasaran tinggi untuk melayakkan diri ke final Piala AFC buat kali kedua.

"Tahun ini kami telah gagal di peringkat separuh akhir. Jadi, kami telah bersedia lebih awal pada musim ini untuk layak ke final 2017," kata pembantu jurulatih JDT, Ismail Ibrahim.

Dalam pada itu, Pengarah Kelab Bola Sepak Felda United, Rosli Hussein, berkata: "Nak letakkan harapan yang tinggi pun, masuk dalam kancah yang begitu asing bagi kami.

"Dengan pemain-pemain yang ada, kami yakin dapat memberi cabaran sengit kepada pasukan-pasukan yang berada satu kumpulan dengan kami." 

Bagaimanapun, JDT terlebih dahulu akan berada dalam play-off Liga Juara-Juara Asia menentang Bangkok United dari Thailand dan bertemu pasukan keempat Liga Jepun (Liga J), jika layak ke play-off kedua, awal tahun depan.

Seandainya skuad Mario Gomez layak ke peringkat kumpulan Liga Juara-Juara Asia, maka Kedah selaku juara Piala Malaysia akan tampil mengisi kekosongan JDT dalam Piala AFC.

"Kami akan cuba sedaya-upaya melayakkan diri ke Liga Juara-Juara Asia memandangkan pasukan yang kami jumpa juga adalah pasukan hebat.

"Kalau kami melepasi peringkat play-off pertama pun, selepas itu kami akan berjumpa pasukan dari Jepun. Kami perlu bersedia untuk menghadapi pasukan yang rankingnya lebih tinggi daripada kami," tambah Ismail lagi.

Tentang Penulis

Staff Writer

Komen