Anugerah Bolasepak Kebangsaan 2018 berlangsung penuh gemilang dengan menyaksikan beberapa pemain kebangsaan menepati ramalan untuk merangkul anugerah, malam tadi.

Kejayaan itu sekali gus menjadi pembakar semangat buat mereka menjelang saingan Piala AFF yang akan bermula dua hari lagi.

Lebih daripada 20 anugerah dipertandingkan dalam majlis itu yang mengangkat martabatkan sukan bola sepak tempatan.

Pasukan Johor Darul Ta'zim (JDT) unggul memenangi sembilan anugerah, antaranya menerusi Farizal Marlias yang merangkul Anugerah Penjaga Gol Terbaik di samping Safawi Rasid yang menjadi tumpuan selepas membolot tiga anugerah --Pemain Muda Harapan, Pemain Tengah Terbaik dan Pemain Paling Bernilai.

"Saya sangat gembira kerana saya tidak sangka akan muncul pemain paling bernilai tahun ini," kata Safawi.

"Saya berbangga dengan kemenangan ini.

"Segala usaha yang kami lakukan selama ini membuahkan hasil.

"Saya berasakan kejayaan ini adalah kejayaan sepasukan," kata Farizal.

Pemain Kedah, Akhyar Rashid, dinobatkan sebagai Penyerang Terbaik selepas mengetepikan Ahmad Hazwan Bakri dan Shahrel Fikri Md Fauzi.

"Saya amat berbesar hati untuk dipilih merangkul Anugerah Penyerang Terbaik," kata Akhyar.

Jurulatih perak, Mehmet Durakovic, yang baru sahaja membantu skuad The Bos Gaurus menamatkan penantian 18 tahun menjulang Piala Malaysia dinobatkan sebagai Jurulatih Terbaik 2018 selepas menewaskan pengendali Pahang, Dollah Salleh dan B. Sathianathan dari Felda United.

"Saya mahu kekal merendah diri kerana kejayaan ini adalah untuk semua pemain saya, barisan kejurulatihan, peminat di seluruh Malaysia dan keluarga saya.

"Ia sebuah penghargaan yang amat besar buat saya," kata Durakovic.


Senarai Anugerah :

Pemain Paling Bernilai: Safawi Rasid (JDT)
Pemain Muda Harapan: Safawi Rasid (JDT)
Jurulatih Terbaik: Mehmet Durakovic (Perak)
Penyerang Terbaik: Akhyar Rashid (Kedah)
Pemain Tengah Terbaik: Safawi Rasid (JDT)
Pertahanan Terbaik: Shahrul Saad (Perak)
Penjaga Gol Terbaik: Farizal Marlias (JDT)
Kasut Emas: Rufino Segovia (Selangor)
Penjaring Terbanyak Tempatan : Shafiq Shaharudin (Kelantan)
Pemain Import Terbaik: Rufino Segovia (Selangor)
Pemain ASEAN Terbaik: Hariss Harun (JDT)
Pemain Paling Popular : Lee Tuck
Pasukan Terbaik: Johor Darul Ta'zim
Penyokong Terbaik: Johor Darul Ta'zim
Laman Web Terbaik: Johor Darul Ta'zim
Media Sosial Terbaik: Johor Darul Ta'zim
Pemain Wanita Terbaik: Nurul Azurin Mazlan (Negeri Sembilan)
Anugerah Mesra Media: Yusri Che Lah (Kelantan)
Anugerah Akar Umbi: Kenari Kid Project (Kedah)
Anugerah Fair Play: Melaka
Anugerah Persahabatan: Hafizh Syahrin Abdullah (MotoGP)