Jawatankuasa Eksekutif PAFA minta Hasnul ubah pendirian

Oleh Azizan Hashim 9 November 2018 492
Jawatankuasa Eksekutif PAFA minta Hasnul ubah pendirian
Beberapa ahli Jawatankuasa Eksekutif Persatuan Bola Sepak Perak (PAFA) meminta presiden persatuan itu, Hasnul Zulkarnain Abd Munaim, mengkaji semula keputusannya untuk meletak jawatan. 

Naib Presiden 1,  Datuk Mohammad Yadzan  Mohamed, serta dua anggota exco, Mahhadee Ramlee dan Mohamad Najib Mohd Mokhtar,  berkata walaupun Hasnul telah mengumumkan peletakan jawatannya, namun exco belum menerima surat rasmi perkara tersebut. 

"Kata putus adalah daripada Jawatankuasa Eksekutif.
 
"Pada pandangan Exco, masih ada ruang untuk beliau menyumbang khidmat bakti kepada PAFA.

"Jadi, tidak ada sebab untuk beliau meletak jawatan semata-mata kerana desakan segelintir penyokong," kata Yadzan yang dilantik pengurus baru pasukan Liga Super Perak 2019.

Mahadee pula berharap penyokong Perak memaafkan kesilapan presiden PAFA itu serta mengetnepikan sebarang sentimen. 

"Kita orang Islam. Maafkanlah dia. Sedangkan nabipun ampunkan umat, takkan kita tidak boleh berbuat demikan," katanya. 

Beliau berkata jika penyokong boleh membawa perkara itu ke pengetahuan Menteri Besar Perak, Exco Perak juga akan membawa perkara itu kepada Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu untuk merungkai kekusutan. 

Sementara itu, Najib bimbang persiapan pasukan Perak bagi menghadapi musim baru akan terjejas jika Hasnul meletakkan jawatan. 

"Beliau sudah membuat perancangan untuk memperkssakan pasukan. 

"Tiba-tiba beliau tidak ada untuk meneruskan usaha membawa pemain yang disasarkan itu. 

 "Jadi, biarlah beliau teruskan tugas-tugasnya. Perubahan kepimpinan pada peringkat ini akan menjejaskan usaha menyediakan pasukan, " katanya. 

Tentang Penulis

Azizan Hashim

Komen