Javi Martinez sudah bersedia untuk meninggalkan Bayern Munich selepas lapan tahun bersama kelab Jerman itu, kata ketua eksekutif pasukan berkenaan, Karl-Heinz Rummenigge.

Pemain tengah berusia 31 tahun itu menyertai Bayern daripada Athletic Bilbao pada 2012 dan telah memenangi 19 trofi sepanjang berada di Arena Allianz.

Bagaimanapun, Martinez hanya diturunkan sebanyak 10 kali dalam kesebelasan utama sepanjang musim ini dan sudah memasuki tempoh 12 bulan terakhir kontraknya.

Rummenigge membuka pintu untuk pemain berbangsa Sepanyol itu berhijrah dalam jendela perpindahan kali ini dengan pasukan di Perancis dan bekas pasukannya, Athletic, dikatakan antara yang berminat untuk mendapatkannya.

"Kami sedar dia mahu meninggalkan pasukan sekiranya mendapat tawaran yang bersesuaian," kata Rummenigge kepada AZ.

"Kami tidak meletakkan sebarang halangan untuknya kerana dia sentiasa pemain yang baik dan boleh diharapkan.

"Kami sentiasa mencari penyelesaian yang sesuai buat pemain itu," katanya.

Rummenigge sekali lagi menjelaskan tentang seorang lagi pemain tengah, Thiago Alcantara, yang dikaitkan untuk menyertai Liverpool, hanya akan dilepaskan sekiranya segala keperluan yang diperlukan dapat dipersetujui.

Bayern juga sedang berbincang mengenai kontrak baru pertahanan serba boleh, David Alaba, manakala pemain yang dipinjam, Philippe Coutinho, akan dipulangkan kepada Barcelona bulan ini.