BELANDA 2 PERANCIS 0

Georgino Wijnaldum dan Memphis Depay muncul wira kemenangan Belanda menewaskan Perancis 2-0 dalam aksi Kumpulan 1 Liga A, sekali gus menyingkirkan pasukan di tangga tercorot, Jerman, daripada saingan Liga Negara-Negara Eropah, awal pagi tadi.


Jerman mengharapkan Perancis menewaskan Belanda agar mereka dapat menghidupkan peluang untuk keluar dari kedudukan terbawah, namun skuad Oranje itu memaparkan aksi cemerlang di Rotterdam yang memastikan skuad kendalian Joachim Low itu tersingkir daripada saingan utama.

Kemenangan itu menyaksikan Belanda menghidupkan peluang untuk layak ke pusingan empat terbaik andai memperoleh sekurang-kurangnya satu mata ketika menentang Jerman dalam perlawanan terakhir mereka.

Tuan rumah menguasai babak pertama sebelum Wijnaldum yang menebus kehampaan terdahulu, memecah kebuntuan pada minit ke-44.

Aksi longlai Perancis mengakibatkan mereka dihukum di penghujung perlawanan menerusi sepakan penalti yang di sudahkan Depay.

Belanda bermula agresif dan hampir menemui jaringan pada minit kedua, namun sepakan Wijnaldum tepat ke dakapan Hugo Lloris.

Pelawat kemudian memberi reaksi balas, namun tandukan Antoine Griezmann diselamatkan Jasper Cillessen.

Belanda menguasai keseluruhan babak pertama selepas itu dan jaringan yang dicari-cari tiba di penghujung babak tersebut.

Wijnaldum memanfaatkan bola muntah susulan percubaan awal Ryan Babel untuk menewaskan Lloris yang dipaksa bekerja keras dalam babak berikutnya.

Tumpuan Lloris benar-benar teruji dalam separuh masa kedua.

Dia terpaksa mennyelamatkan dua percubaan Denzel Dumfries pada minit ke-60 sebelum menyepak keluar sepakan percuma Depay dari jarak 25 ela, 17 minit selepas itu.

Belanda kemudian memperoleh sepakan penalti pada minit keenam masa kecederaan selepas Frenkie de Jong dijatuhkan Moussa Sissoko sebelum Depay menghasilkan sepakan penalti ala "Panenka" yang menewaskan Lloris buat kali kedua.