Jaringan tunggal Sagynbaev Bekzhan menyaksikan Malaysia terpaksa akur kecundang 0-1 dalam aksi persahabatan antarabangsa di Stadium Hang Jebat, Melaka, malam tadi.

Skuad negara kendalian Tan Cheng Hoe itu turun ke perlawanan berkenaan dengan misi untuk mengekalkan momentum kemenangan selepas mengatasi Kemboja dan Sri Lanka sebelum ini.

Membariskan pemain naturalisasi, Mohamadou Sumareh, dalam kesebelasan utama, Malaysia tampil dengan aksi cukup baik dalam babak pertama.

Peluang terbaik hadir menerusi Norshahrul Idlan Talaha pada minit ke-29 tetapi percubaannya singgah ke palang gol Kyrgyzstan.

Pada minit ke-40, giliran kapten, Zaquan Adha Abdul Radzak, menguji gawang lawan apabila tandukannya ditepis penjaga gol, Pavel Matiash.

Norshahrul sekali lagi mempunyai peluang hasil daripada larian individu ke kubu Kyrgyzstan, namun percubaannya dibias pertahanan lawan sebelum terkena palang.

Memasuki babak kedua, momentum permainan sama cuba dikekalkan oleh skuad negara.

Begitupun, tuah lebih memihak pelawat apabila Sagynbaev pantas membuat tindakan susulan apabila percubaan Baktiyar Duishobekov terbias pertahanan negara.

Tuan rumah cuba meningkatkan asakan dalam 10 minit terakhir permainan selepas lawan kehilangan seorang pemain apabila Mustafa Iusupov dilayangkan kad merah, namun gagal mencari gol penyamaan hingga tamat perlawanan.

"Kami memiliki banyak petanda positif daripada negatif. Kami berjaya mengawal permainan, namun keputusan tidak menyebelahi Malaysia," kata Cheng Hoe.

"Malaysia bermain seperti yang kami jangkakan," kata jurulatih Kyrgyzstan, Aleksandr Krestinin, pula.

"Mereka pasukan yang bagus tetapi kami mampu memberikan saingan kepada mereka, hanya insiden kad merah memberikan sedikit tekanan kepada kami."

Imej: Asiana